Friday, January 15, 2010

Kenali Penduduk Sabah

Dari http://www.sabah.org.my/bm/kenali_sabah/penduduk_sabah.asp

PENDUDUK SABAH

Penduduk Sabah adalah terdiri dari berbagai-bagai kaum dengan latar belakang kebudayaan masing-masing. Penduduk aslinya terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 kumpulan dengan menggunakan lebih dari 50 bahasa dan tidak kurang dari 90 dialek.

Kaum Kadazandusun

Kumpulan etnik yang terbesar adalah kaum Kadazandusun yang merupakan satu pertiga dari jumlah penduduk Sabah. Mereka adalah petani secara tradisi yang menanam padi sawah dan huma dan sesetengah dari mereka memburu serta menangkap ikan sungai. Berbagai-bagai kumpulan kecil dalam kumpulan Kadazandusun merangkumi kaum Kadazan di Penampang dan Papar, Lotud, Rungus dan kumpulan kecil yang lain di Tempasuk, Tambunan, Ranau dan daerah-daerah lain dengan sistem kepercayaan yang sama dengan beberapa variasi dari segi adat dan amalan. Kesemua etnik kecil ini menggunakan Bahasa Kadazandusun sebagai bahasa pengantar mereka.
Murut

Kaum Murut menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah serta di wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Kebanyakan dari mereka adalah petani yang berpindah, pemburu dan sesetengah menangkap ikan sungai.

Bajau dan kumpulan yang sama


Kaum Bajau dan kumpulan yang sama telah menetap di kawasan pantai Sabah sejak beberapa ratus tahun dan telah diiktiraf sebagai sebahagian dari penduduk asli negeri ini. Mereka bekerja sebagai petani dan nelayan di kawasan pantai barat di samping terkenal sebagai penunggang kuda. Di pantai timur, mereka secara tradisi adalah nelayan.

Kumpulan lain


Kumpulan asli lain yang datang kemudian dan menetap di negeri ini termasuk kaum Suluk, berbagai-bagai kumpulan etnik Filipina selatan, Lundayeh dan Iban dari Sarawak dan Kalimantan, serta yang lain dari rumpun Melayu Indonesia.Walaupun terdapat sesetengah penduduk asli ini masih mengamalkan hidup secara tradisi tetapi ramai daripada mereka telah berkecimpung dalam berbagai-bagai bidang sebagai pekerja kolar putih dan biru, peniaga, kakitangan perkhidmatan awam dan ahli politik.

Kumpulan Bukan Penduduk Asli


Kumpulan bukan penduduk asli yang terbesar di Sabah ialah masyarakat Cina. Mereka telah menetap di Sabah sejak abad yang lalu dan mereka merupakan kumpulan etnik yang terbesar selepas kaum Dusun/Kadazan.


Kumpulan-kumpulan etnik di Sabah dapat dibezakan di antara satu dengan yang lain melalui adat resam dan amalan masing-masing di samping kebudayaan kebendaan khususnya pakaian, bentuk serta penggunaan hiasan diri.


No comments:

Post a Comment