Wednesday, March 11, 2009

Buli Dan Masalah Sosial Pelajar : Satu Penyelesaian

Dr Novandri Hasan Basri

Kita tentu terkejut dengan kes adik Muhd Afiq Qusyairi Baharuddin yang dibuli dan dibelasah oleh pelajar senior di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis. Yang pastinya masalah ini masih lagi berleluasa sehinggalah ke detik ini.

Bermacam- macam persoalan timbul yang semuanya memerlukan penyelesaian yang konkrit dan segera.
-- Kenapakah berlakunya kepincangan pemikiran pelajar-pelajar ini?--
Dimanakah salahnya pendekatan kita selama ini?--
Tidak adakah suatu mekanisme yang wujud untuk menyalurkan rangsangan emosi negatif pelajar-pelajar ini agar dapat dikurangkan atau kepada sesuatu yang lebih berfaedah dan masuk akal? --
Apakah kerana kes-kes yang berlaku ini isolated dan hanya melibatkan segelintir pelajar, maka segala usaha yang dijalankan untuk membenterasnya masih lagi di dalam peringkat perancangan demi perancangan?--
Sampai bilakah berlakunya segala masalah disiplin pelajar-pelajar ini ?

Buku Developmental Psychology Childhood and Adolescence (1996) telah memetik huraian Pattterson (1982; Patterson et al 1989) yang menerangkan bahawa anak-anak yang bermasalah selalunya tinggal di dalam keluarga yang dianggapkan sebagai breeding grounds kepada tingkah laku anti-sosial dan hostile.

Keluarga ini selalunya beratmosferakan coercive home environment di mana anak-anak berinteraksi dengan ibu bapa dan sesama sendiri dengan menggunakan kekerasan ataupun dengan teknik-teknik anti-sosial yang lain.

Tekanan yang berterusan ini akan mengakibatkan anak-anak ini, secara tidak langsung, terpaksa mempelajari teknik-teknik tersebut untuk terus survive di dalam keluarga mereka.
Anak-anak akan mulai berani menentang ibubapa dan keluarga sendiri untuk mengurangkan tekanan yang dirasai oleh mereka. Lama-kelamaan perangai dan tingkah laku akan sebati dengan jiwa mereka.

Sikap inilah yang akan memperkenalkan mereka kepada masyarakat nanti.
Rentetan permasalahan anak-anak ini bertambah signifikan apabila di bangku sekolah. Kerap kali berlaku masalah disiplin dan juga lemah di dalam pelajaran di kalangan anak-anak ini.
Akibatnya anak-anak ini sering dihukum dan gagal di dalam peperiksaan yang seterusnya akan menyebabkan ibu bapa berasa malu, bertambah berang ataupun terus tawar hati.

Sikap ini pula akan menyebabkan mereka tidak lagi berminat untuk mengawal atau mengambil kisah hal ehwal dan segala aktiviti anak-anak mereka.
Jadi persoalannya sekarang ialah, jika ibubapa bertanggungjawab mencorakkan perangai dan tingkah laku anak-anak, kenapakah masalah disiplin pelajar-pelajar tertumpu di suasana dan persekitaran sekolah?

Ini adalah kerana, jika diamati dengan teliti, subjek-subjek yang terlibat, masa contact, tindakan dan tindakbalas subjek itu dirangsang oleh sesuatu atau situasi tertentu di sekolah itu.
Peristiwa-peristiwa seperti bakar sekolah, peras ugut ataupun gangsterisme sebenarnya mempunyai sumber provokasi (provocation) yang bermula atau tertumpu di masa sekolah itu dan bukannya di rumah pelajar-pelajar.

Peranan Sekolah

Feldman & Weinberger (1994) di dalam buku di atas menerangkan bahawa penampilan sikap negatif yang persisten oleh pelajar-pelajar hasil daripada keluarga yang bermasalah ini, akan menyebabkan beberapa respon negatif, tanpa disedari, oleh masyarakat sekolah.

-- Pelajar-pelajar lain yang lebih pandai akan menjauhi diri daripada mereka.
-- Pelajar-pelajar ini juga akan kerap dikritik dan tidak diambil berat oleh guru-guru.
-- Pelajar-pelajar ini akan ditempatkan di dalam kelompok pelajar-pelajar yang sama taraf akademiknya dan secara relatifnya juga bermasalah dan mempunyai sikap anti-sosial.

Penolakkan masyarakat sekolah tersebut akan menyebabkan skop pergaulan mereka terbatas kepada pelajar-pelajar yang lemah dalam matapelajaran dan bermasalah sama seperti mereka.
Sesetengah daripada mereka membentuk geng-geng ataupun deviant cliques.

Kumpulan ini akan menjerumuskan mereka kepada peningkatan sikap-sikap agresif, anti-sosial, tidak mementingkan pelajaran dan terjebak di dalam aktiviti-aktiviti yang berbau jenayah(Thomas Dishion & Associates, 1991).

Kajian tersebut bertepatan dengan senario kita hari ini. Biasanya unsur-unsur negatif yang besar magnitudnya seperti buli, peras ugut, hooliganisme, gangsterisme dan membakar sekolah melibatkan penyertaan lebih daripada satu pelajar.
Terdapat juga golongan pelajar yang memencilkan diri, hilang pegangan role model mereka iaitu ibubapa dan guru dan sebagainya.

Sikap destruktif ini akan menyebabkan mereka sangat senang terpengaruh dengan anasir-anasir kurang sihat di kalangan masyarakat.
Mereka yang selama ini hilang tempat mengadu dan kasih sayang, merasakan bahawa dengan mengikuti anasir-anasir ini, mereka akan dapat lari ataupun melupakan segala masalah mereka.

Kitaran Hidup

Jika kita amati dengan teliti, terdapat satu kitaran lengkap tindakan dan tindakbalas yang terjadi di antara pelajar-pelajar bermasalah ini dan orang dewasa iaitu ibubapa dan guru.

Kitaran ini telah diutarakan oleh. Doherty & Mynatt di dalam buku mereka yang bertajuk Understanding Human Behaviour (1998). Ianya di istilahkan sebagai Positive Feedback Loop.
Istilah ini menerangkan fenomena ‘rangsang - merangsang’ dan ‘ganda-mengganda’ yang sering bergolak di antara jiwa pelajar bermasalah ini dan persekitaran sosial mereka.

Jika di rumah pelajar bermasalah ini, ahli-ahli keluarga mempunyai masalah dengan sikap masing-masing. Apabila anak-anak ini sering melakukan kesalahan ataupun gagal di dalam peperiksaan, ibubapa akan menjadi lebih malu, lebih marah ataupun lebih tawar hati.
Ini akan mengakibatkan tindakbalas anak-anak terhadap ibubapa akan digandakan juga. Begitulah seterusnya fenomena ‘ganda-mengganda’ dan ‘rangsang-merangsang’ yang persisten di antara anak-anak dan ibubapa,

Jika fenomena ini kekal dan berterusan, maka akan terjadilah peristiwa-peristiwa seperti lari dari rumah, berpeleseran, bohsia, bergaduh dan sebagainya.
Begitu juga yang terjadi di sekolah, di mana penolakan masyarakat sekolah akan menggandakan sikap hostile dan benci mereka terhadap masyarakat sekolah.

Penentangan berlebihan pelajar-pelajar ini akan menyebabkan guru-guru terpaksa melaksanakan hukuman yang lebih berat ataupun mengalah dengan membiarkan sahaja mereka ini.

Begitulah seterusnya senario ‘ganda-mengganda’ dan ‘rangsang-merangsang’ yang persisten di antara pelajar-pelajar dan masyarakat sekolah.
Jika senario ini kekal dan berterusan, akan menyusullah kejadian-kejadian tidak sihat seperti bakar sekolah, peras ugut dan sebagainya.

Dulu Lain Sekarang Lain

Di dalam perbincangan isu masalah disiplin pelajar ini, saya rasa elok juga kita membincangkan perbezaan ketara di antara zaman sekarang dengan zaman bapa dan datuk kita dulu.

-- Dahulu masyarakat memandang tinggi guru-guru sekolah. Guru-guru ketika itu dianggap sangat istimewa kerana mereka mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain. Ketika itu ilmu pelajaran adalah hak eksklusif guru-guru.

Segala teknik pengajaran, buah fikiran guru-guru ataupun cara mereka menghukum pelajar-pelajar diterima baik oleh ibubapa. Mereka percaya bahawa guru-guru melakukannya supaya anak-anak mereka akan menjadi lebih pandai.

Secara tidak langsung, pengiktirafan tinggi masyarakat ini akan menyebabkan mereka menjadi lebih bersemangat dan bangga menjadi seorang guru.
-- Dahulu, kita mempunyai sistem kekeluargaan yang utuh dan berfungsi. Ibu bapa mempunyai masa dan tidak perlu sangat memikirkan soal wang.

Mereka berjaya bertindak sebagai ‘penyerap’ kepada permasalahan anak-anak mereka samada di rumah mahupun di sekolah.
Dalam masa yang sama, sebahagian besar ibubapa tidak berpelajaran, maka dengan itu anak-anak yang berkebolehan untuk belajar di sekolah ketika itu adalah sesuatu yang amat dikagumi dan dibanggakan oleh mereka.

Bagi mereka, nilai sekolah rendah dan menengah ini dirasakan amat tinggi dan sangat penting..
Justeru itu, jika dibandingkan dahulu dengan sekarang, banyak yang berubah. Di zaman sekarang, berlaku perubahan dari segi keperluan fizikal dan mental masyarakat.

-- Sekarang, hampir semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini telah pun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut.
Ini menghasilkan satu masyarakat yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-guru.

Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur formal ilmu sahaja. Sebab itulah guru-guru dan pihak sekolah mempunyai masalah kes saman dan kurangnya penglibatan ibubapa di sekolah.

-- Institusi sekolah hari ini juga dirasakan tidak istimewa dan eksklusif lagi. Sebagai contoh, sekarang ini telah wujud kelas-kelas tuisyen yang mempunyai tenaga-tenaga pengajar yang mempunyai masa untuk memberikan penumpuan yang bersifat individual, berkesan dan berjaya membantu pelajar-pelajar di dalam peperiksaan mereka.
Perkembangan yang telah bertapak lama ini menunjukkan seolah-olah guru-guru tidak berupaya lagi untuk mengajar dengan berkesan di sekolah.

-- Sekarang, ibubapa tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengetahui hal ehwal emosi dan pelajaran anak-anak mereka.
Ataupun, mungkinkah ibubapa berpura-pura tidak ada masa untuk mengetahui pelajaran anak-anak mereka kerana ego dan takut dicop kurang pandai apabila ditanya oleh mereka?
Ataupun, mungkinkah ibubapa tidak mempunyai tahap kesabaran mengajar seperti ahli-ahli profesional yang bergelar guru ini?

Penyelesaian

Patterson (1982; Patterson et. al 1989) mengatakan bahawa sikap anak-anak dan persekitaran keluarga yang destruktif ini tidak mungkin boleh dipulihkan jika mereka tidak mendapat bantuan daripada pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Malah jika kepincangan ini berterusan sehingga ke peringkat dewasa, segala kaedah membetulkan sikap pelajar ketika itu terasa mustahil dilaksanakan kerana ianya juga perlu membetulkan mind sets masyarakat sekeliling yang terlalu ramai dan bebas.

Ketika itu para pelajar akan berdepan dengan pelbagai jenis dan karakter masyarakat yang selama ini telah mendukung persepsi kukuh tetapi serong terhadap mereka
Perlu ditekankan juga, bahawa masa contact sosial pelajar-pelajar di dalam sekolah adalah yang kedua lamanya selepas di rumah. Masa contact ini dan kajian-kajian di atas jelas menunjukkan betapa mustahaknya peranan sekolah.

Peranan institusi sekolah ini adalah setaraf dengan peranan institusi kekeluargaan di dalam membentuk mental dan rohani pelajar-pelajar. Malah atmosfera di dalam sekolah akan menentukan kesudahan corak jiwa pelajar di peringkat remaja ini.
Disebabkan itulah segala usaha perlu disegerakan di masa pelajar-pelajar berada di institusi yang kecil dan terkawal ini iaitu di sekolah.

Kita perlukan suatu kaedah pencegahan untuk memastikan nilai-nilai negatif ini dapat dibendung daripada terlepas dari kawalan kita.
Di samping itu, perlu diwujudkan satu tindakan susulan untuk menghilang atau mengurangkan masalah sebenar pelajar-pelajar.
Justeru itu, pihak-pihak berkuasa perlu lebih proaktif dan bersegera di dalam menangani masalah ini. Sistem-sistem pendidikan sekarang mestilah dikemaskinikan agar lebih fleksibel dan sesuai dengan orde masyarakat hari ini dan masa hadapan.

Hukuman

Buku Developmental Psychology: Childhood & Adolescence (4th edition, 1996) telah menggariskan beberapa cara pencegahan untuk permasalahan di atas. Di antaranya ialah:-

-- Penumpuan lebih dan membantu pembelajaran pelajar bermasalah ini agar setanding dengan pelajar-pelajar lain di sekolah. Bukannya dengan mengkritik atau menyisihkan mereka.

-- Mengadakan suatu stimulus yang dapat menimbulkan rasa minat dan berguna mereka di sekolah.

-- Mendekati dan memahami mereka secara ikhlas dan mendalam. Guru-guru keseluruhannya hendaklah juga mengajar mereka sikap-sikap yang baik agar mereka dapat berinteraksi kembali dengan pelajar-pelajar keseluruhannya.
Bukannya dengan membebankan masalah pelajar-pelajar kepada guru disiplin atau unit kaunseling sahaja.

-- Membantu ibubapa mempelajari teknik pengurusan anak yang lebih efektif.
Kaedah di atas amat perlu diutamakan di dalam pengubahsuaian sistem institusi sekolah. Biarpun hasil perlaksanaannya mengambil masa yang lama tetapi ianya lebih kekal dan berjaya mengurangkan respon negatif dan masalah sebenar pelajar ini(Mynatt & Doherty, 1998).

-- Pendekatan sistem hukuman (punishment) sekarang, mesti diubah dan dianjakkan kepada memfokuskan usaha-usaha murni bagi mengisi kekosongan jiwa pelajar-pelajar malang ini.
Kaedah hukuman atau punishment yang dipraktikkan selama ini seperti merotan, gantung sekolah dan lain-lain sebenarnya akan menghasilkan respon yang dikehendaki dengan cepat tetapi ianya bersifat sementara dan kerap tidak berjaya menyelesaikan masalah sebenar pelajar ini.

Sayangnya, walaupun kaedah ini sudah tidak sesuai lagi sekarang, ianya terus menjadi pilihan utama. Ia adalah disebabkan oleh desakan sistem yang inginkan respon yang cepat dan juga oleh persepsi fixed ideas masyarakat sendiri.

-- Guru-guru pula perlu lebih tangkas mengesan perubahan sikap pelajar, mengenalpasti masalah, prihatian dan membantu menyelesaikan masalah pelajar mereka.
Guru-guru perlu mengenengahkan sikap-sikap lain yang ada di dalam peribadi pelajar-pelajar ini.

Pelajar-pelajar bermasalah ini pasti mempunyai sikap-sikap murni yang boleh diterima umum tetapi selama ini terpendam akibat dibayangi oleh sikap anti-sosial yang terlalu dominan di dalam personaliti mereka ataupun yang terbantut disebabkan persepsi negatif masyarakat ke atas mereka.

Sikap-sikap murni ini perlu dikembangkan agar ianya dapat menguasai kembali jiwa mereka.
Pendekatan Lain

-- Pengasingan pelajar-pelajar di dalam kelas-kelas yang berdasarkan kepada kepandaian dan merit kini perlu dikaji semula. Kelas sepatutnya mempunyai pelajar-pelajar yang dipilih secara rawak.

Dengan cara ini akan berkuranglah terbentuknya geng-geng jahat seperti sekarang ini. Dalam masa yang sama guru-guru akan dapat mengajar dengan lebih saksama dan semangat sihat seperti berlumba-lumba untuk mencari ilmu akan tercapai di antara pelajar-pelajar..
-- Penulis rasa perlu juga dislotkan masa ‘perjumpaan dengan guru kelas’ di dalam jadual waktu sekolah sekarang.

Masa ini bukan untuk mengajar dan belajar tetapi satu slot khas untuk pelajar-pelajar menanyakan masalah mereka agar dapat dikongsi bersama guru-guru.
Cara ini amat baik kerana ianya akan menimbulkan rasa minat dan bergantung pelajar-pelajar kepada guru.

Bila masalah disiplin pelajar terjadi, guru-guru diberikan keistimewaan untuk berjumpa dan berbincang dengan ibubapa pelajar tersebut, di slot masa ‘perjumpaan dengan guru kelas’ tersebut.

-- Guru-guru juga perlu diringankan tugas mereka. Saya rasa perlu ditubuhkan satu organisasi profesional lain yang bertanggungjawab untuk menyediakan mode-mode rangka pelajaran yang canggih dan menarik, menyediakan dan memeriksa kertas peperiksaan.

Dengan cara ini, teknik pengajaran guru-guru akan menjadi tersusun, menarik dan dikagumi oleh pelajar-pelajar dan ibubapa. Di samping itu, guru-guru akan mempunyai lebih masa bersama-sama pelajar untuk mengulangkaji pelajaran .

-- Sekolah-sekolah perlu berkonsepkan mini universiti. Peperiksaan di sekolah perlu meniru sistem Cummulative Grading Points Average (CGPA) di mana setiap markah yang diperolehi daripada setiap ujian, projek, persatuan dan peperiksaan akan menyumbang kepada markah akhir pelajar tersebut.

Sistem ini akan memaksa pelajar-pelajar lebih aktif di dalam aktiviti sekolah dan juga belajar dengan lebih konsisten.

-- Jika diamati dengan teliti, guru-guru kelas yang juga mengajar matapelajaran tertentu, terpaksa ‘berpindah-randah’ di antara kelas-kelas untuk mengajar subjek tersebut.
Penulis rasa mungkin telah tiba masanya untuk kita menterbalikkan senario ini. Jadi konsep mencari ilmu yang ditekankan selama ini bukan setakat hadir di sekolah sahaja, tetapi juga berusaha mencari guru-guru mereka.

Kelas-kelas yang dahulunya diberikan nama seperti 3 Biru, 3 Hijau dan sebagainya, perlu dispesifikkan kepada setiap mata pelajaran, contohnya Makmal Bahasa Malaysia, Makmal Matematik dan sebagainya.

Guru-guru yang mengajar subjek-subjek tersebut akan diberi penghormatan untuk menggunakan kelas tersebut sebagai bilik utama mereka dan bukannya meja-meja kecil seperti di bilik guru sekarang.
Bilik guru ini nanti boleh digunakan sebagai bilik rehat eksklusif untuk mereka yang lengkap dengan peralatan media dan komputer bagi meningkatkan professionalisme dan motivasi mereka.

-- Di masa yang sama, perlu diadakan badan profesional yang lain yang dapat memberikan kaunseling dan berupaya menyelesaikan masalah keluarga pelajar-pelajar tersebut. Ibubapa akan diberi tunjuk ajar dan semangat baru untuk memimpin keluarga mereka dengan lebih efektif.

Kesimpulan

Penulis percaya yang kita tidak dapat menyalahkan satu pihak sahaja di dalam hal ini tetapi saya pasti kesalahannya adalah terletak di bahu semua orang dewasa yang selama ini leka, tidak prihatin dan sensitif.

Orang dewasa bersalah kerana gagal memanipulasikan sistem keluarga, pelajaran, sekolah dan masyarakat untuk kebaikan pelajar-pelajar ini.

Akibatnya, pelajar-pelajar ini yang terpaksa menanggung kekecewaan dan kesengsaraan sendirian, semata-mata angkara kesilapan orang dewasa itu sendiri!

Kita mesti sedar bahawa negara kita masih di dalam tahap negara membangun lagi. Kita masih lagi berusaha untuk memperkukuhkan kedudukan dan kerelevanan negara kita di dunia ini.
Untuk itu, penggemblengan usaha diperlukan dari setiap rakyat Malaysia.
Kita tidak mampu untuk membazirkan tenaga rakyat sendiri walaupun hanya satu, biarpun ianya seorang manusia yang bergelar pelajar bermasalah.

No comments:

Post a Comment